Thursday, September 27, 2007

sejarah jepun

“KEBUDAYAAN MASYARAKAT JEPUN MERUPAKAN KEBUDAYAAN YANG DISADUR ATAU DIPENGARUHI OLEH KEBUDAYAAN MASYARAKAT LUAR JEPUN TERMASUK JUGA AGAMA SHINTO”

1.0 PENGENALAN:
Jepun merupakan sebuah negara kepulauan yang terletak di Asia Timur, Jepun terdiri daripada empat buah pulau yang utama iaitu Hokkaido, Honshu, Kyushu dan Shikoku dan mempunyai lebih kurang tiga ribu pulau yang kecil. Oleh kerana kedudukan geografi kepulauan Jepun yang berhampiran dengan China dan Korea menyebabkan berlakunya pencampuran budaya. Kemasukan pengaruh budaya luar ke Jepun adalah bermula pada abad ke-3 Masihi iaitu pada zaman Yayoi. Zaman Yayoi dan zaman Kofun adalah zaman bermulanya kegiatan perdagangan. Semasa zaman Yamamto berlaku perpecahan politik mengakibatkan keruntuhan Jepun. Oleh yang demikian, bermulanya pengaruh China yang meluas di Jepun. Pada zaman Asoka dan Nara, Jepun telah menerima pengaruh budaya China dengan meluas dalam semua segi.
Para sarjana Jepun melihat bahawa sejarah budaya Jepun sebagai gabungan antara kesepaduan dan kepelbagaian, antara perubahan dan kesinambungan hasil pencampuran pengaruh luar dan tempatan tetapi secara keseluruhannya menampakkan sifat-sifat Jepun.[1] Dalam perbincangan ini, bahawa tidak ada yang asli berhubung budaya Jepun termasuk agama Shinto. Hal ini bermaksud, terdapat pengaruh lain dalam budaya Jepun.

2.0 KEHIDUPAN BUDAYA JEPUN:
Masyarakat Jepun menjalankan kegiatan pertanian dan perikanan sejak zaman awal lagi. Salah satu sebab ialah berkaitan dengan latar belakang geografi Jepun yang dikelilingi laut. Kegiatan pertanian padi membantu membentuk sikap rajin dan tekun bagi orang Jepun disamping sikap berjimat-cermat. Sikap rajin petani Jepun juga mungkin dipengaruhi unsur-unsur agama, etika dan falsafah Konfucianisme. Orang Korea memainkan peranan yang penting membawa teknik-teknik penanaman padi ke Jepun. Kedudukan geografi semenanjung Korea dengan China menyebabkan Korea lebih awal terpengaruh dengan budaya China. Teknik pertanian padi China tiba di Korea sebelum abad ke-4 selain penggunaan besi kemudiannya dibawa oleh orang Jepun dan juga teknik saliran air yang dikenali oleh pakar berbangsa Korea. Peralatan logam, senjata sebenarnya juga dibawa masuk dari Semenanjung Korea.

3.0 AGAMA:
Agama Shinto dikatakan merupakan agama tradisional asli di Jepun. Agama Shinto tidak mempunyai pengasas agama dan tidak ada kitab. Tetapi Shinto boleh dapat dikesan daripada dua buah kesusasteraan iaitu Kojiki pada 712 dan Nihonshoki pada tahun 720. Namun demikian, agama Shinto ini telah pun menerima pengaruh luar termasuk dari Siberia dan Kepulauan Pasifik Selatan.[2] Shinto atau “the kami way” dikatakan merujuk sesuatu yang mempunyai “supernatural” atau misteri.
Dalam Shinto, Kami merupakan tuhan yang mencipta alam tetapi bukan Yang Maha Berkuasa atau Yang Maha Tahu, bahkan tidak semestinya kekal abadi. Secara am, orang Jepun percaya bahawa ada fenomena mempunyai kuasa magik, itulah semangat Kami yang menetap di langit dalam bentuk matahari, bulan dan bintang atau dalam bentuk kuasa semulajadi sebagai awan, hujan dan cahaya.[3] Malah, kami digambarkan dalam pelbagai bentuk yang ada sifat dan perwatakan mansuia seperti akan rasa gembira dan sedih. Kami adalah dewa-dewi dalam agama Shinto dan dalam Shinto mempunyai dewa-dewi yang banyak. Mitos Shinto kebanyakannya terpengaruh dari beberapa tempat di Asia. Contohnya, perkahwinan diantara Izanagi dan Izanami mempunyai persamaan dengan budaya rakyat biasa di Asia Tenggara.[4] Selain itu, cerita dongeng Kojiki tentang perkahwinan antara seorang manusia biasa dengan kami Omono Nushi mempunyai persamaan dengan mitos Korea dan Machuria.[5]
Shinto tidak ada satu sistem tentang prinsip-prinsip moral atau doktrin falsafah. Ia meminjam kata-kata dan idea-idea pengaruh luar terutama Konfucianisme dan Buddhisme.[6] Putera Shotoku memiankan peranan penting yang membawa masuk agama Buddha ke Jepun. Setelah kemasukan agama Buddha ke Jepun, Shinto dan agama Buddha saling mempengaruhi satu sama lain sehingga membawa percampuran harmono seperti fenomena keramat-biara (jingo-ji) di keramat Shinto (jinja) dan rahib Buddha membaca sutra serta menjalankan upacara Buddha untuk Kami Shinto.[7] Sebelum agama Buddha masuk ke Jepun, agama Shinto pada asalnya bukan dalam bentuk yang ada organisasi mahupun struktur, malah kandungan Shinto juga tidak berteraskan prinsip moral atau ajaran yang berunsur falsafah.
Dalam Shinto, manusia pada asalnya baik dan suci, manakala kejahatan dan kekotoran amat tidak disukai dalam Shinto. Secara keseluruhannya boleh dikatakan Shinto merupakan satu ajaran yang mementingkan kebersihan fizikal. Oleh itu, orang Jepun yang berkahwin akan menjalankan upacara Shinto sementara kematian akan dijalankan dalam upacara Buddha. Shinto mengandungi empat bahagian utama iaitu Shinto keluarga diraja (koshitsu Shinto), Shinto keramat (jinja Shinto), Shinto mazhab (kyoha Shinto) dan Shinto rakyat (minkan Shinto), dan ini dihasilkan dalam tempoh lebih daripada 2000 tahun dengan adunan pelbagai pengaruh luar.[8] Tempat ibadat Shinto dikenali sebagai “Jinja” dan perlu melepasi satu pintu gerbang iaitu “Tori” juga dipengaruhi daripada agama Buddha. Salah satu perkara penting dalam agama Shinto adalah “Matsuri” iaitu perayaan yang diadakan setiap tahun meliputi tahun baru, musim bunga, bulan April, pertengahan bulan Julai dan bulan Ogos hingga bulan November dilakukan dengan sepenuh hati kerana akan diperhatikan oleh “Kami”.
Kedatangan agama Buddha tidak pernah menggantikan agama Shinto sebaliknya kedua-duannya kepercayaan dan upacara telah diterapkan dalam kehidupan orang Jepun.[9] Buddhisme telah diperibumikan melalui proses asimilasi untuk dipersesuaikan dengan masyarakat Jepun. Buddhisme Jepun membawa nilai-nilai baru seperti “principle of transcendence” dan “world negation” agak berbeza dengan agama Buddha yang terdapat di India, China mahupun Asia Tenggara.[10]
Pada awalnya, pengaruh China dibawa masuk melalui Semenanjung Korea. Pada zaman Nara, pengaruh China meliputi aspek seni bina, sistem penulisan, perubatan, kesusasteraan seperti Kojiki dan Nihon Shoki. Orang Jepun telah banyak meminjam elemen-elemen sistem pentadbiran China termasuk tulisan China, cara-cara pentadbiran kerajaan China, cara seni bina dan seni dan sistem falsafah dan agama.[11] Pada mulanya, orang Jepun pergi ke Korea untuk mempelajari agama Buddha, tetapi selepas itu mereka pergi terus ke China pada zaman Tang. Orang Jepun tinggal di China selama berpuluh tahun, di sana mereka mempelajari bahasa Cina dan juga termasuk sistem pentadbiran China. Selepas itu, mereka pulang ke Jepun.
Agama Kristian pula tiba di Jepun dalam tiga zaman yang berbeza yakni lewat abad ke-16, tahun 1868 hingga 1891, tahun 1945-1952.[12] Agama Kristian tidak seperti agama Buddha lebih mudah diterima oleh rakyat Jepun. Oleh itu, agama Kristian dilihat sebagai agama asing bagi kebanyakan orang Jepun. Bilangan penganut agama Kristian juga tidak seramai penganut agama Shinto dan Buddha. Orang Jepun menganut agama Shinto juga turut mengakui sebagai penganut agama Buddha. Lebih menarik lagi ialah lebih 50 peratus muda-mudi Jepun memilih untuk berkahwin di gereja walaupun majoriti mereka bukan beragama Kristian.[13]

4.0 PENTADBIRAN:
Pada zaman awal, Jepun tidak mempunyai satu pentadbiran yang teratur dan tersusun. Setiap masyarakat Jepun diketuai “Uji”. Uji memainkan peranan penting sebagai pemerintah. Namun demikian, pada abad tiga masihi sudah ada rombongan Uji Jepun tiba di China. Melalui hubungan diplomatik ini, lahirlah sebuah negara Jepun yang dinamakan Yamatai yang diketuai oleh seorang permaisuri bernama Himiko. Kemasukan pengaruh politik dan budaya dari China dengan lebih tersusun anatara abad ke-7 hingga abad ke-9 apabila Yamato bertukar kepada kerajaan Nara dan berikutnya. Selain itu, Yamato ada belajar dari beberapa buah kerajaan Korea iaitu Paekche, Silla dan Koguryo.
Pada abad ke-7, hubungan Jepun-China dibuat secara terus, tidak lagi melalui Korea. Jepun mula menghantar rombongan ke China pada 600 Masihi.[14] Pada 607 Masihi, rombongan Jepun dihantar terus ke China atas usaha Putera Shotoku. Pegawai kerajaan Jepun belajar tentang idea-idea dan falsafah kerajaan China seperti buku-buku Konfucius, penggunaan simbol amalan Buddhisme, pembuatan kalendar, perubatan China, herba dan muzik juga mendapat sambutan daripada masyarakat Jepun.[15]
Rombongan pegawai kerajaan Tang ke Jepun pada 632 Masihi mempunyai tiga perkara yang boleh dianggap sebagai penting, pertama; mereka pergi melalui jalan laluan Silla dan kerajaan Silla sudah mempunyai kedudukan yang istimewa dengan wangsa Tang dan Silla berharap dapat menjadi orang tengah hubungan diplomatik antara wangsa Tang dan Jepun. Kedua, istana Jepun berusaha mengatur dengan terperinci untuk menyambut kedatangan rombongan misi kerajaan China, dan ketiga ialah beberapa orang Jepun yang pergi belajar di China telah pulang bersama dengan utusan China yang memberikan kebenaran kepada Jepun sumber maklumat yang boleh dipercayai tentang pelbagai aspek tamadun China.[16] Sumbangan China penting kepada orang Jepun tidak kira dari segi pentadbiran Jepun atau budaya, pegawai kerajaan Jepun semuannya mempelajari bahasa China, ini penting dalam pentadbiran Jepun termasuk melibatkan perakaunan dan pengutipan cukai. Sistem pentadbiran Jepun banyak dipengaruhi oleh falsafah-falsafah Konfucianisme.


5.0 SISTEM TULISAN:
Sebelum itu, Jepun tidak mempunyai sistem tulisan sendiri, mereka hanya menggunakan lisan secara turun-temurun. Buddhisme mempunyai pengaruh yang besar terhadap budaya dan tamadun Jepun seperti melalui penulisannya yang dipengaruhi tulisan China selain sebutan Sanskrit.[17]
Kebangkitan kebudayaan Jepun asli yang perlahan-lahan boleh diperhatikan dengan dalam perkembangan sesuatui cara yang memadai dalam menulis bahasa aslinya. Cara menulis ini telah timbul dengan beransur-ansur dalam kurun ke-9 dan ke-10 melalui proses penggunaan huruf-huruf China yang tertentu dalam bentuk yang dipendekkan sebagai lambang-lambang fonetik yang mudah tanpa mempunyai apa-apa makna yang khusus di dalamnya. Oleh kerana setiap huruf China melambangkan satu perkataan yang mempunyai satu suku kata atau akar perkataan, lambang-lambang fonetik yang berpunca daripada mereka yang lazimnya mewakili satu sukun kata keseluruhannya seperti “ka”, “se” atau “mo”. Hasilnya adalah sesuatu yang bersuku kata dan bukannya huruf seperti sistem penulisan kita sendiri.
Tulisan Jepun yang terhasil melalui proses penggunaan huruf-huruf China yang dipendekkan sebagi lambang fonetik yang mewakili satu suku kata dikenali sebagai “kana”. Salah satu kana ini adalah “Hiragana”. Manakala “Katakana” pula adalah satu sistem lambang tulisan China yang dipilih mengikut nilai-nilai fonetiknya. Tulisan Jepun ini jauh lebih senang berbanding dengan tulisan China. Perkembangan dalam tulisan Jepun ini kemudiannya telah membawa kepada penghasilan puisi, sastera, cerita serta esei. Cara khas membaca karangan dan puisi China digunakan bagi membolehkan orang Jepun menulis puisi dan prosa China.[18] Sehingga hari ini, tulisan Jepun merupakan antara tulisan yang paling rumit di dunia kerana penggunaan sistem “kana” dan bahasa Chia sekaligus.
Berlakunya asimilasi agama Buddha ke dalam budaya China termasuk seni bina, dan semuannya mempunyai percampuran budaya gaya China, agama Buddha sampai ke Jepun adalah terjemahan ke dalam bahasa China.[19]

6.0 KESUSASTERAAN:
Dalam bidang kesusasteraan, Nihongi telah disusun pada tahun 720M dan Kojiki pada tahun 713 M yang bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan keluarga diraja manakala Kojiki juga adalah aduan daripada mitos, lagenda China dan Korea, cerita separa sejarah dan fakta yang boleh dipercayai.[20] Karya Kojiki berbentuk kesusasteraan yang menceritakan tentang Kami, keluarga maharaja. Kojiki ditulis dengan gaya China dan separa tulisan China manakala Nihon Shoki pula sepenuhnya ditulis dengan tulisan China.[21]
Sebuah karya Genji Monogatari ditulis oleh Murasaki Shikibu pada 1002M hingga 1019M adalah hasil kesusasteraan yang terkenal pada zaman itu.[22] Genji Monogatari menggambarkan kehidupan kelas atasan pada abad ke-11M dan ke-12M. Karya Genji Monogatari dan Konjaku Monogatari mempunyai kaitan yang rapat dengan agama Buddha. Wanita atasan memainkan peranan yang penting menggunakan tulisan Jepun seperti Murasaki telah mempopularkan huruf kana. Golongan lelaki pada masa itu masih lagi menggunakan tulisan China. Makura no Soshi (cerita bantal) tahun 1002M, sebuah novel yang mengisahkan kehidupan anggota keluarga Fijiwara.

7.0 MUZIK DAN DRAMA:
Lagu atau muzik masyarakat Jepun lebih kepada bertemakan tentang nyanyian kerinduan tanah air, nyanyian bertemakan kebesaran “Kami”, nyanyian minum dan sebagainya. Dalam riwayat Jepun, ia ada memberi keterangan tentang beberapa nama dalam nyanyian seperti “kami words” (kamigatari), “country measure” (hinaburi), “songs of yearning for the homeland” (kunishinohiuta), “drinking songs” (sakagura no uta) dan “quite sons” (shizuuta). [23] Tarian agama dikenali sebagai Kagura dipersembahkan di depan maharaja iaitu keturunan dewa Amaterasu. [24] Pada tahun 612M, menunjukkan satu sejarah awal muzik dan menari dalam tamadun Jepun. Gigaku diajar di biara Buddha di bawah Tachibana-dera, Uzumasa-dera dan Shitnno-ji selepas ia diperkenalkan.[25] Salah satu alat muzik bernama “zither” yang mempunyai tiga belas tali dikenali “cheng” dalam bahasa China atau “so” dalam bahasa Jepun diperkenalkan ke Jepun pada awal abad ke-7M.[26]
Salah satu drama yang terkenal dikenali sebagai “Noh”. Drama Noh ini dipersembahkan di teater khas dan semua watak wanita dilakonkan oleh kaum lelaki.[27] Tema drama Noh adalah bersifat moral dan unsur-unsur keagamaan.[28] Upacara teh yang terkenal mempunyai unsur-unsur latar belakang Zen sebenarnya juga berasal dari China.[29] “Ikebana” atau dikenali sebagai gubahan bunga juga dipengaruhi dari Chiba dan salah satu sumbangan agama Buddha kepada orang Jepun.

8.0 SENI BINA:
Bagi masyarakat Jepun, kayu merupakan sumber utama seni bina Jepun. Hal ini mungkin berkaitan dengan orang Jepun yang cintai kepada alam dan juga ada kaitan rapat dengan agama Shinto. Pada zaman Jomon, antara 8000 sebelum Masihi hingga 300 sebelum Masihi, orang Jepun memiliki gaya hidup yang asli, penggunaan peralatan batu dan tempat kediaman tersendiri. Contoh “Ise” (keramat Shinto). Seni bina Jepun selalunya menggunakan kayu tanpa cat dan penggunaan tatami untuk lantai rumah. Pada zaman Nara, perkembangan seni bina Jepun banyak dipengaruhi mellaui agama Buddha. Hal ini dapat dilihat dengan perkembangan pertama melibatkan perpindahan ibu kota Heijo (Nara) yang dibina dengan keluasan 7.8 batu persegi yang bermodelkan Chang-An iaitu ibu kota wangsa Tang lengkap dengan istana, bangunan kerajaan, jalanraya dan biara yang menjadi lambang dan kekayaan Nara.[30]
Pada zaman Nara juga seni dan budaya berkait rapat dengan agama Buddha yang dapat dilihat mellaui seni arca, lukisan serta seni bina biara seperti Horyuji yang dibina di kota Nara pada tahun 607M.[31] Jepun tidak membuat tembok yang besar dikelilingi kota itu tetapi Jepun telah membuat jalan-jalan yang lebar, kuil Buddha yang beratap genting yang indah serta istana dan tempat kediaman rasmi telah dibinakan. Pada tahun 794M, kota kedua telah didirikan di Kyoto beberapa batu ke utara Nara.
“Cha-no-yu” juga dikaitkan dengan seni binanya yang tersendiri (cha shitsu atau bilik the) berbentuk tertentu catan dan kaligrafi (kakemono), selain cara yang tersendiri dalam gubahan bunga, seramik dan perubahan sosial yang berkaitan dengan cha-no-yu.[32] Satu lagi pembinaan dikenali sebagai “shrine-temple” (Jinguji).[33] Pada zaman awal, shrines seperti Izomo dan Ise dibina secara ringkas dan ia berupa dengan bangunan lama digunakan sebagai tempat tinggal dan kaya semulajadi tanpa warna digunakan.[34] Sami Buiddha akan membaca mantera kepada “Kami” dan selalunya “Kami” digelarkan sebagai bosastsu (bodhisattvas).
Selain itu, pengaruh China dikaitkan dengan taman landskap Jepun yang dibina pada tahun 611M di hadapan istana maharaja ketika itu dipercayai oleh para pengkaji bahawa pembinaan taman ini dipengaruhi Taman Barat Sui yang dibina pada tahun 607 M di Loyang sepanjang 75 batu mengandungi 16 istana, empat tasik besar dan pelbagai jenis tumbuhan yang terdapat di China pada ketika itu.[35]
9.0 KESIMPULAN:
Jelasnya, boleh dikatakan bahawa pengaruh budaya daripada China, Korea, Yunani terhadap tamadun Jepun yang dapat dilihat jelas dalam aspek seni bina dan keagamaan. Sesungguhnya, keseluruhan budaya Jepun termasuk agama Shinto memang tidak asli kerana mempunyai pengaruh dari luar. Namun begitu, budaya Jepun dengan budaya asing telah diasimilasikan sehingga wujud satu ciri budaya Jepun yang unik sehingga sekarang.

No comments: