Thursday, September 27, 2007

“RELEVANKAH SULALATUS SALATIN DINILAI BERDASARKAN CIRI PENSEJARAHAN MODEN. BINCANGKAN.”

“RELEVANKAH SULALATUS SALATIN DINILAI BERDASARKAN CIRI PENSEJARAHAN MODEN. BINCANGKAN.”

1.0 PENDAHULUAN:
Kajian kali ini adalah berkaitan dengan teks Salalatus Salatin atau juga dikenali sebagai Sejarah Melayu. Saya akan mendiskusikan teks ini dalam kadar yang serelevan mungkin. Bagi mencapai maksud itu, saya akan membuat penilaian dan kajian terhadap teks ini berdasarkan pelbagai aspek. Aspek yang akan ditekankan dalam kajian teks ini adalah berkaitan dengan penggunaan pandangan dan kaedah pensejarahan barat terhadap teks Salalatus Salatin ini. Persoalannya kini, layakkah karya pensejarahan tradisional umumnya dan Salalatus Salatin khususnya dinilai dan dikaji dengan mengaplikasikan teori-teori dan kaedah-kaedah yang dikemukakan oleh para sarjana barat. Oleh yang demikian, kajian ini akan mengupas perihal ini dengan lebih lanjut untuk mencapai solusi yang bernas dalam menjawab persaolan ini.

2.0 CIRI-CIRI PENSEJARAHAN MODEN:
Penggunaan konsep pensejarahan yang lebih saintifik dilihat bermula hasil daripada cetusan idea yang dicanang-canangkan oleh Bapa Pensejarahan Moden iaitu Leopold von Ranke pada abad ke-19.[1] Konsep yang agak sinonim dengan diri beliau dalam dunia pensejarahan ialah konsep yang berbunyi “Saya hanyalah berhajat semata-mata untuk memperlihatkan bagaimana keadaannya yang sebenar” (wie es eigentlich gewesen).[2] Menurut Profesor Leonard Krieger, Ranke merupakan seorang yang memulakan sains tentang sejarah yang berdasarkan kajian yang lebih kritikal terhadap sumber-sumber. Beliau juga telah memperkenalkan beberapa lagi konsep pengkajian sejarah. Antaranya ialah konsep “Historicism” dan “Quellinkritik”.[3]
Selain itu, sejarah yang dikatakan sebagai suatu displin ilmu yang ilmiah menurut pandangan R.G.Collingwood haruslah mempunyai empat ciri. Pertama, sejarah yang bersifat ilmiah ialah sejarah yang bersifat saintifik iaitu bermula dengan mengemukakan pelbagai persoalan. Persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh ahli sejarah adalah bertujuan mencari jawapan terhadap setiap perkara yang dikaji oleh mereka. Kedua, sejarah juga perlulah merupakan suatu bidang tentang kemanusiaan iaitu mengemukakan perkara-perkara yang telah dilakukan oleh manusia pada waktu-waktu tertentu pada masa lalu. Ketiga, sejarah perlulah merupakan suatu bidang kajian yang rasional dan memerlukan bukti-bukti tertentu dalam penyelidikannya. Akhirnya, sejarah juga perlulah bersifat menjelaskan diri iaitu dapat memberi pengetauhan dan penerangan tentang sesuatu perkara yang telah berlaku dan mungkin berlaku. Selanjutnya, sejarah sebagai sains juga memperlu mempunyai empat ciri yang tertentu iaitu berdasarkan penyelidikan, menunjukkan kebenaran, membantu dalam membuat ramalan dan perlu bersifat objektif.[4]Selain itu juga, isu pengadilan moral juga ditekankan dalam bidang pensejarahan moden. Menurut Kasim Ahmad, pengadilan moral ialah perlakuan menjatuhkan hukuman, ataupun mengenakan penilaian tertentu kepada peristiwa sejarah atau kepada seorang pelaku dalam sejarah.[5] Semua teori dan kaedah ini diaplikasikan dalam bidang pensejarahan bertujuan memastikan sejarah yang ditulis itu benar-benar objektif dan berdasarkan konsep saintifik. Perkara inilah yang mencetuskan sedikit permasalahan dalam mengkaji karya pensejarahan tradisional di negara ini. Hal ini kerana, kebanyakan isi kandungan yang tersurat dalam teks-teks ini sememangnya mempunyai percanggahan yang agak lebar umpama “langit dan bumi”. Justeru itu, timbullah persoalan iaitu adakah layak karya-karya pensejarahan tradisional Melayu dinilai dan dikaji berdasarkan teori-teori dan kaedah-kaedah ini.

3.0 CIRI-CIRI PENSEJARAHAN TRADISIONAL:
Terdapat beberapa ciri khusus dalam karya pensejarahan tradisional. Kebanyakan ciri yang terkandung dalam karya pensejarahan tradisional kelihatannya begitu bertentangan dengan ciri-ciri pensejarahan moden. Menurut Ismail Hussein, pensejarahan tradisional ialah sejarah atau historiografi yang berdasarkan dakyah politik untuk diperturunkan kepada generasi akan datang dan mengandungi unsur-unsur kesusasteraan. Unsur-unsur sasteranya dilihat dalam bentuk puisi, syair, mitos, lagenda dan sebagainya.[6] Selain itu, pensejarahan tradisonal juga dipengaruhi oleh unsur penaungan iaitu kebanyakan penulisnya menulis dalam keadaan yang tidak bebas kerana dikongkong oleh kuasa pemerintah. Ciri lain pula ialah terdapatnya unsur anakronistik iaitu kesilapan atau percanggahan untuk menempatkan sesuatu peristiwa, tokoh dan tempat pada zaman yang sebenarnya.[7] Seterusnya, unsur mitos, lagenda, dongeng merupakan unsur yang kerapkali mewarnai karya-karya pensejarahan tradisional yang akhirnya menyebabkan karya-karya ini dihurungi pelbagai konterversi jika dilihat berdasarkan konsep pensejarahan moden.

4.0 KELEMAHAN SULALATUS SALATIN UNTUK BERDIRI SEBAGAI SUMBER SEJARAH:
Antara faktor yang menyukarkan karya Salalatus Salatin untuk berdiri sebagai sumber sejarah ialah kerana karya ini tidak mempunyai ciri-ciri sebuah hasil penulisan yang bercorak sejarah. Menurut R.G. Collingwood, sebuah hasil penulisan sejarah perlu merangkumi empat ciri iaitu bersifat saintifik, bersifat kemanusiaan atau mengemukakan perkara-perkara yang tertentu pada masa yang lalu, bersifat rasional dengan berdasarkan kepada bukti yang sahih dan perlu bersifat menjelaskan diri.[8]
Kaedah penulisannya yang dikatakan tidak rasional adalah disebabkan pengarangnya mengaplikasikan pelbagai unsur magis yang bercorak mitos, dongeng dan lagenda dalam karyanya. Hal ini berlaku kerana pengarangnya menulis bukan atas maksud untuk menghasilkan karya yang bersifat ilmiah bahkan hanya untuk menyukakan kuasa sang pemerintah. Hal ini dapat difahami berdasarkan petikan ini:
“Setelah fakir allazi murakabun ‘ala jahili (mendengar titah yang Maha Mulia itu), maka fakir perkejutlah diri fakir pada mengusahakan dia, syahdan memohonkan taufik ke hadrat Allah, Tuhan sani’il alam, dan minta huruf kepada Nabi sayyidil-anam, dan minta ampun kepada sahabat yang akram; maka fakir karanglah hikayat ini, kama sami’tuhu min jaadi wa abi, supaya akan menyukakan duli hadrat baginda. Maka fakir namai hikayat ini “Sulalatus Salatin”, yakni pertuturan segala raja-raja, hazihi durratul-akhbar wal-amsal, inilah mutiara segala ceritera dan cahaya segala peri umpamanya. Maka barang siapa membaca dia, jangan dibicarakan dengan sempurna bicara….”[9]


Berdasarkan wacana ini, “sudah terang lagi bersuluh” bahawa motif utama penulisan Tun Seri Lanang adalah semata-mata untuk menyukakan hati pemerintah Johor yang pada ketika itu di bawah pimpinan Sultan Alauddin Riayat Syah. Memang bangsa Melayu pada ketika itu sangat berpegang kuat pada konsep taat, setia dan patuh kepada segenap suruhan pemerintah. Hal ini diwarnai lagi dengan pengamalan konsep daulat dan tulah dalam suasana persekitaran masyarakat Melayu lama.
Selain itu, antara isu yang mencetuskan konterversi terhadap karya ini adalah disebabkan penggunaan kaedah pensejarahan yang dipraktikkan oleh penulisnya. Persoalannya kini, adakah Tun Seri Lanang mengaplikasikan lunas-lunas kaedah pensejarahan seperti yang kebanyakan sejarahwan fahami masa kini?. Ternyata Tun Seri Lanang hanya menggunakan sumber bertulis dan sumber lisan dalam skop penulisannya. Antara sumber bertulis paling pokok yang digunakan ialah teks Sejarah Melayu induk sendiri yang dibawa dari Goa. Hikayat ini kemudiannya diperbaiki dan disunting semula sehingga akhirnya teks ini dinamakan dengan istilah ‘Sulalatus Salatin”.[10] Sumber lain yang digunkan ialah Hikayat Iskandar Dzulkarnain yang berkaitan tentang tradisi dan naratif Iskandar Zulkarnain, Hikayat Amir Hmazah yang mengisahkan Raja Suran yang mendirikan negeri di benua Keling dan Hikayat Raja-Raja Pasai tentang kerajaan tua Pasai. Selain sumber ini, pengarang juga menggunakan kaedah sumber lisan. Penggunaan kaedah ini sememangnya popular pada abad ke-16 dan abad ke-17.[11] Penggunaan sumber lisan ini ternyata mempunyai pelbagai kelemahan kerana kaedah ini secara lazimnya mudah dicemari dengan unsur-unsur tokok-tambah yang akhirnya mencemarkan sifat sejarahnya. Hal inilah yang menyukarkan karya ini untuk layak berdiri sebagai sumber sejarah. Sedangkan “Bapa Sejarah Dunia” iaitu Herodotus juga seringkali dikecam oleh beberapa sarjana tentang gelarannya sebagai pelopor sejarah dunia walaupun beliau telah menjalankan beberapa kaedah penyelidikan iaitu kaedah temuduga dan pemerhatian dalam penghasilan karya beliau yang berjudul “Sejarah Perang Parsi”.[12] Selanjutnya, persoalan mungkin boleh ditimbulkan dalam nada yang berbunyi adakah Tun Seri Lanang membuat kaedah kritikan luaran dan kritikan dalaman sewaktu penghasilan penulisan beliau. Jika beliau dikatakan ada mengaplikasikan kaedah tersebut, sudah sepastinya unsur-unsur yang berbentuk magis dan anankronistik tidak akan wujud dalam karya tersebut. Disamping itu, untuk sesuatu sumber itu diiktiraf sebagai sumber sejarah perlulah dijalankan aktiviti penafsiran sumber berdasarkan logik akal bagi menentukan kewarasan sumber tersebut.
Sementelahan itu, Salalatus Salatin juga dilihat hanya mampu berdiri sebagai sebuah karya sastera. Salalatus Salatin adalah sebuah hasil sastera sejarah iaitu sebuah karya ciptaan berjasadkan sejarah. “Sejarah” yang dipaparkan dibentuk oleh matlamat-matlamat di luar sejarah dan dibungai dengan pelbagai gejala yang mencairkan sifat kesejarahannya.[13] Menurut Ahmad Mahmood Musanif, Salalatus Salatin hanya layak dilihat sebagai hasil sastera sejarah. Hal ini dapat difahami berdasarkan petikan ini.
“Sejarah Melayu hanya lebih sesuai diklafikasikan dalam kategori hasil sastera sejarah kerana karya ini hanya mengambil bahan-bahannya dari peristiwa-peristiwa sejarah, baik sejarah mengenai sebuah negeri maupun sejarah mengenai seseorang pahlawan atau raja serta kandungannya pula dipenuhi oleh unsur dongeng dan puisi yang indah.”[14]

Kelihatannya, faktor utama yang menyebabkan sesetengah sarjana agak sukar untuk mengiktiraf Sulalatus Salatin sebagai sumber penulisan sejarah adalah disebabkan isi kandungannya yang lebih kerap menampilkan elemen-elemen kesuasasteraan seperti puisi yang bercorak pantun, gurindam dan syair. Kandungan Sulalatus Salatin mempunyai pengaruh sastera dan budaya asing iaitu Hindu dan Islam. Pengarang Sulalatus Salatin telah memperpadukan kedua-dua unsur seperti unsur emas dan unsur perak yang merupakan unsur Hindu dengan unsur tempatan iaitu padi.[15] Keadaan sama juga muncul pada nama-nama tempat dan watak yang digunakan seperti Malini dalam bahasa Sanskrit yang berertti mengulungkan bunga.[16] Selain itu, Bat dalam tradisi agama Hindu merujuk kepada suatu upacara mensucian seseorang Brahmin.[17] Namun terdapat perubahan yang ditonjolkan dalam teks Salalatus Salatin iaitu Bat digamnbarkan sebagai seorang manusia suci yang lahir daripada muntah lembu putih untuk memahkotakan kelahiran Parameswara. Walaupun terdapat perubahan yang ditonjolkan, namun konsep yang digunapakai masih lagi sama. Selain itu, contoh lain yang adalah seperti penggunaan konsep devaraja. Penggunaan konsep devaraja telah diubahsuai dan digantikan dengan penggunaan konsep khalifah.[18] Dengan cara ini, Tun Seri Lanang telah mengambarkan unsur-unsur keislaman dalam karya beliau. Bukan itu sahaja, pemaparan upacara waadat sememangnya mempunyai serba sedikit persamaan dengan konsep baiah dalam ajaran Islam. Baiah dalam Islam diaplikasikan sewaktu perlantikan seseorang khalifah. Maka mungkin kerana ini terdapat sesetengah sarjana yang lebih berpendapat bahawa Sulalatus Salatin yang bermaksud Salasilah Raja-Raja atau Jurai Keturunan Raja-Raja lebih layak untuk dilabelkan sebagai Kisah Raja-Raja Melayu seperti Kisah Raja-Raja Pasai. [19]
Seterusnya, sebab utama yang menyebabkan karya ini kurang layak untuk berdiri sebagai sumber sejarah adalah kerana isi kandungannya yang lebih banyak mengandungi percampuran unsur-unsur mitos, lagenda, khayalan dan hiburan. Menurut R.O.Winstedt, Wilkinson, John Crowfort mengatakan: “Sejarah Melayu adalah karya dimana pengarangnya telah mengkahwinkan keadaan semasa dengan dongeng-dongeng dan legenda-legenda yang terdapat dalam cerita dewa-dewi”.[20] Manakala J.C.Bottom pula mengatakan, “…history as the Malay has seen it – a mixture of truth and legend, fantasy and fact, entertainment and instruction.”[21] J.C.Bottom menyatakan bahawa sejarah bagi orang Melayu bukanlah sains atau kesenian tetapi adalah hiburan oleh penulis sastera yang berbentuk sejarah yang tidak mengutamakan penyusunan fakta dan konkrit.[22] Ternyata, pandangan ini mempunyai kerelevanannya yang tersendiri. Perkara ini dapat dibuktikan berdasarkan petikan ini: “… a demon with eyes as red as flame, with creel- like matted hair and a beard down to his waist”.[23] Petikan memaparkan bahawa Badang telah berdepan dengan sejenis makhluk yang mempunyai paras rupa yang menakutkan. Persoalannya, adakah benar-benar wujud makhluk yang sedemikian rupa atau hanya sekadar tokok-tambah daripada sang penulis.
Selain itu, tiada konsep pentarikhan yang tepat dalam teks Salalatus Salatin. Ada yang berpendapat bahawa Salalatus Salatin dikarang pada hari Khamis iaitu yang terdapat dalam pendahuluan hikayat yang berbunyi “…seribu dua puluh satu tahun kepada tahun Dal, pada dua belas haribulan Rabi’ul Awal kepada hari Khamis…” iaitu bersamaan 13hb Mei 1612.[24] Tetapi ada juga tokoh yang mengatakan Salalatus Salatin dikarang pada hari Ahad. Selain itu juga, sesuatu peristiwa yang berlaku mestilah mengikut kronologi. Namun begitu, dalam teks ini, perkara yang mengikut kronologinya adalah sesuatu peristiwa yang berlaku tetapi masa dan juga tahun sesuatu peristiwa yang berlaku tidak dapat diperoleh. Kronologi sejarah juga dikaitkan dengan rentetan peristiwa yang teratur mengikut urutan masa dari awal hingga yang terakhir.[25] Misalnya seperti kisah pelayaran Sri Tri Buana dari Bentan ke Temasik yang tarikhnya tidak dicatatkan. Maka tanpa kewujudan tarikh dalam peristiwa, sesuatu peristiwa itu sukar untuk dianggap sebagai sumber sejarah. Teks Salalatus Salatin juga mengandungi unsur anankronistik iaitu kesilapan atau percanggahan untuk menempatkan sesuatu peristiwa, tokoh dan tempat pada zaman yang sebenarnya.[26]



5.0 KEBENARAN DAN KEUNIKAN YANG TERSELINDUNG DISEBALIK SULALATUS SALATIN:
Sulalatus Salatin walaubagaimanapun menyemat 1001 macam kebenaran dan keunikannya yang tersendiri. Kebenaran dan keunikannya perlu dikaji dan diselidiki dalam pelbagai aspek yang meluas dan universal. Hal ini kerana, keunikan dan kebenarannya terselindung disebalik isinya yang tersurat. Antara peranan penting yang dimainkan oleh karya ini adalah bertindak sebagai salah satu rujukan penting dalam mengkaji perihal suasana kehidupan masyarakat Melayu zaman dahulu terutamanya pada abad ke-14 dan ke-15. Hal ini kerana, jika menulis berkaitan dengan kehidupan masyarakat Melayu zaman dahulu berdasarkan sumber barat terutamanya sumber yang dihasilkan oleh sarjana kolonial seperti R.O.Winstedt, Frank Swettenhem dan lain-lain lagi sepastinya akan menimbulkan masalah. Hal ini kerana, kebanyakan tafsiran ataupun interpretasi yang dikemukakan oleh sarjana ini lazimnya berdasarkan kaca mata barat. Kebanyakan mereka dilihat memanipulasikan soal entosentrisme. Entnosentrisme secara mudahnya ialah kepercayaan bahawa kebudayaan sendiri lebih unggul, tinggi nilainya dari kebudayaan lain.[27] Konsep ini juga mendorong kepada menilai kebudayaan lain berdasarkan kepada standard kebudayaan sendiri. Contohnya, seperti orang Eropah yang melihat masyarakat Asia dengan persepsi yang ganjil apabila masyarakat Asia makan dengan menggunakan tangan dan memasuki rumah mereka tanpa alas kaki sedangkan kebanyakan masyarakat Eropah makan dengan menggunakan sudu dan garpu serta memasuki rumah mereka dengan menggunakan alas kaki. Oleh sebab itulah, terdapat sarjana seperti Zainal Abidin Wahid yang menekankan pensejarahan peribumi ditulis oleh penulis peribuminya kerana hanya masyarakat peribumi itu sahaja yang dapat memahami suasana kehidupan masyarakatnya. Hal inilah yang membawa kepada kemunculan konsep Malaysia-sentrik iaitu karya sejarah atau apa-apa karya yang mempunyai nilai sejarah tentang negara ini atau satu bahagian yang dahulunya terangkum dalam entiti Melayu. Berdasarkan konsep ini, hanya sarjana tempatan sahaja dilihat lebih layak menulis tentang sejarah Malaysia. Menurut Zainal Abidin Wahid lagi :
“Sejarah Melayu benar-benar merupakan satu sumber terpenting bagi pengkajian Sejarah Alam Melayu umumnya dan Melaka khususnya pada zaman sebelum kejatuhan Melaka ke tangan Portugis. Tidak ada buku atau manuskrip lain yang boleh menggambarkan masyarakat Melaka dengan cara yang lebih baik dan jelas dari Sejarah Melayu”.[28]

Selain itu, keunikan teks ini juga boleh dilihat berdasarkan penggunaan bahasa dalam penghasilannya. Kita dapat melihat bagaimana bangsa Melayu dahulukala dapat berfikir secara kreatif, bijaksana dan mendalam dalam bahasanya sendiri.[29] Mereka mampu berfikir melalui bahasa figuratif, bahasa metafora, tidak hanya melalui bahasa literal dan melalui fikiran yang linear tetapi juga secara lateral dan kreatif. Jikalau kita belajar daripada sejarah budaya dan tamadun bangsa Melayu itu, kita akan dapati bahawa tiga akar tunjang iaitu bahasa Melayu, budaya Melayu dan agama Islam itulah “model” yang membentuk pandangan dan jati diri atau identiti Melayu sebagai suatu bangsa yang bebas, berdaulat, bermaruah, berakal budi, bijaksana dan bermoral tinggi sepanjang zaman. Selama lebih 430 tahun dunia Melayu-Indonesia berada dalam zaman globalisasi penjajahan yang dibawa oleh tiga kuasa Barat, Portugis, Belanda dan Inggeris. Hal yang sangat menakjubkan ialah bangsa Melayu itu masih mengekalkan kedaulatan bangsanya kekal hingga hari ini. Kita tidak menjadi suku kaum yang lemah seperti suku kaum peribumi di Amerika yang tamadun mereka, budaya mereka dan bahasa mereka dimusnahkan oleh kuasa penjajah dari Eropah. Orang Melayu terus dapat berkembang menjadi bangsa atau nation yang mempunyai kerajaan, agama, budaya dan kesusasteraan yang tinggi.
Sementelahan itu, kajian terhadap karya pensejarahan tradisional perlu dilihat berdasarkan kajian yang tersirat. Kajiannya tidak boleh dilihat secara mata kasar sahaja kerana kebenarannya tersirat disebalik yang tersurat. Contohnya seperti membincangkan tentang faktor yang memudahkan masyarakat Tanah Melayu memeluk Islam walaupun kepercayaan Hindu-Buddha telah lama menapak dalam hati dan sanubari mereka. Dalam isu ini, kita dapat melihat bahawa betapa terbukanya minda Melayu.[30] Kita melihat apabila budaya Hinduisme dan Islam yang datang secara aman, tidak melalui paksaan, tidak melalui pedang dan peperangan, maka budaya dan kepercayaan ini mudah berkembang di rantau ini. Keterbukaan orang Melayu dapat dilihat apabila orang Melayu sanggup melakukan suatu proses tranformasi budaya, tamadun dan pemikiran yang cukup revolusioner. Namun, apabila budaya atau tamadun dari luar itu cuba dipaksakan kepada orang Melayu melalui keganasan, peperangan dan penjajahan, maka mereka akan menolaknya. Orang Melayu menolak budaya Portugis kerana bangsa Eropah datang secara agresif; mereka memerangi orang Melayu dan merampas kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1511. Itulah sebabnya mengapa orang Melayu “tidak masuk Kristian” dan tidak menerima bahasa Portugis dan budaya mereka, padahal Portugis memerintah di Melaka selama lebih seratus tahun (hingga tahun 1641).
Selanjutnya, kita juga akan melihat bahawa lokasi-lokasi yang dinyatakan dalam teks Sulalatus Salatin seperti Temasik atau Singapura, Palembang, Pulau Bentan, Tanjung Bemban, Minangkabau, Tanjung Pura, Srivijaya, Majapahit, Siam dan lain-lain lagi masih wujud sehingga kini. Berdasarkan hujah ini, ternyata menilai karya pensejarahan tradisional Melayu berdasarkan kaca mata barat adalah suatu kesilapan. Hal ini didorong oleh beberapa faktor seperti faktor perbezaan budaya, tujuan penulisan teks dan kaedah penulisan. Pensejarahan moden yang menggunakan rujukan atau sumber barat tidak sesuai untuk menilai karya pensejarahan tradisional. Hal ini hanya mendorong kepada isu berat sebelah dan akhirnya pensejarahan baratlah yang akan mendominasi pensejarahan tradisional. Selain itu, perbezaan tujuan penulisan yang berbeza juga menyebabkan pensejarahan tradisional tidak relevan dinilai berdasarkan kaca mata barat. Karya pensejarahan tradisional lazimnya bertujuan memaparkan sejarah keagungan negara,pemerintah dan bangsanya sedangkan pensejarahan moden ditulis dengan tujuan untuk memaparkan penulisan sejarah yang bersifat saintifik. Seterusnya, kaedah dan gaya penulisan juga berbeza. Kebanyakan karya pensejarahan tradisional diwarnai dengan unsur-unsur kesusasteraan seperti sajak,puisi,gurindam dan mitos.[31] Unsur-unsur ini diaplikasikan untuk memenuhi sifat masyarakat yang menyanjung raja. Unsur-unsur tersebut juga penting sebagai hiburan atau penarik serta kritikan terhadap pihak tertentu secara sinis, halus tetapi penuh simbolik. Namun, jika isu ini dilihat berdasarkan sudut pandangan barat, ternayta ia sungguh bercanggah sekali. Menurut Leopold von Ranke, sejarah mestilah berlandaskan bukti sahih dan buannya daya imaginasi semata-mata seperti mana yang dilakukan oleh penulis-penulis beraliran sastera.[32] Seterusnya, penulisan sejarah pada hari ini yang dianggap moden dan saintifik mungkin juga akan dianggap sebagi ketinggalan zaman dan tidak saintifik pada masa akan datang.

6.0 KESIMPULAN:
Jelasnya, karya pensejarahan tradisional umunya dan karya Sulalatus Salatin khususnya tidak layak untuk diukur atau dinilai berdasarkan kaca mata barat. Hal ini kerana, terdapat perbezaan yang amat ketara antara pensejarahan tradisional dengan pensejarahan moden yang dibentuk barat. Justeru itu, karya pensejarahan tradisional sememangnya layak untuk dijadikan sumber dalam penulisan sejarah kerana kandungannya yang lebih memaparkan dan memahami suasana kehidupan masyarakat peribumi pada masa silam berbanding dengan sumber asing yang kebanyakannya ditulis oleh para sarjana kolonial. Hal ini kerana, kebanyakan para sarjana kolonial menulis dengan persepsi yang kurang menyenangkan terhadap suasana kehidupan masyarakat peribumi pada masa silam dan akhirnya hal ini membawa kepada unsur berat sebelah kepada sejarah masyarkat peribumi. Jelasnya, untuk mengenepikan karya pensejarahan tradisional sebagai rujukan sejarah adalah suatu perkara yang tidak relevan walaupun kebanyakannya isi kandungannya bercanggah dengan konsep dan teori pensejarahan moden.



BIBLIOGRAFI.
BUKU:
Ahmad Mahmood Musanif. 1992. Pemahaman dan Penghayatan Sejarah Melayu.
Selangor: Masa Enterprise.

Ali Ahmad. 1987. Karya-Karya Sastera Bercorak Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Arbai'yah Mohd Noor.2002. Ilmu Sejarah dan Pensejarahan.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Brown, C.C. 1970. Sejarah Melayu or Malay Annals (terj.). London: Oxford University Press.

Flaron bin Daud. 1985. Sejarah Melayu: Satu Kajian Dari Aspek Pensejarahan Budaya. Bangi: Institusi Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Muhd. Yusoff Hashim. 1988. Pensejarahan Melayu Nusantara: Kajian Mengenai Sumber, Penghayatan Masalah dan Tafsiran Naskah-Naskah Terpilih Sejarah Melayu. Singapura: Gaints Prints Sdn. Bhd.

Muhd Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya. 1988. Sejarahwan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sheikh Othman bin Sheikh Salim (eds.). 1997. Kamus Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Suntharalingam, R. 1985. Pengenalan kepada Sejarah. Kuala Lumpur: Marican.

Suntharalingam, R. 1987. Pensejarahan Barat. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
The Colombia Encyclopedia, 6th Edition. 2001. Colombia: University Press.
Yusoff Iskandar dan Abdul Rahman Kaeh. 1978. Sejarah Melayu: Satu Perbicaraan Kritis Dari Pelbagai Bidang. Kuala Lumpur: Heineman Educational Book (Asia) Ltd.








ARTIKEL:

Abdul Rahman Haji Ismail. 1985. "Sejarah Melatyu: Antara dan Dakyah". Kajian Malaysia, Jilid III, NO.2.

Bottom, J.C. 1962. "Malay Historical Works" dalam K.G.Tregonning (ed.). Singapore: Malaysian Historical Sources.

Hassan Ahmad. 2007. "Makna Sebuah Kedaulatan: Pandangan Melayu Terhadap Dirinya", dalam Dewan Budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Thilagavathi Gunalan, V. 2005. "Dari Bukit SiGuntang ke Bukit Larangan: Parameswara dalam teks Sejarah Melayu" dalam Prof.Emeritus Dato’Dr. Mohd Yusoff Hashim (penyt.), Parameswara Pengasas Empayar Melaka. Melaka: Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP)
GRAHA IKSEP.

Yusoff Iskandar. 1986. "Sejarah Melayu Sastera yang Bercorak Sejarah", dalam Zahrah Ibrahim (penyt.), Sastera Sejarah: Interpretasi dan Penilaian. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.




[1] (t.p.), The Colombia Encyclopedia, 6th Edition, Colombia: University Press, 2001, hlm. 2.
[2] Muhd Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarahwan dan Pensejarahwan: Ketokohan dan Karya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, hlm. 286.
[3] Ibid., hlm. 286.
[4] Ibid., hlm. 287.
[5] R. Sutharalingam, Pengenalan kepada Sejarah, Kuala Lumpur: Marican, 1985, hlm. 90.
[6] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm.17.
[7] Ali Ahmad, Karya-Karya Sastera Bercorak Sejarah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, hlm. 10.
[8] Muhd Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarahwan dan Pensejarahwan: Ketokohan dan Karya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, hlm. 287.

[9] Ibid., hlm. 227.
[10] Ibid., hlm. 228.
[11] Muhd. Yusoff Hashim, Pensejarahan Melayu Nusantara: Kajian Mengenai Sumber, Penghayatan Masalah dan Tafsiran Naskah-Naskah Terpilih Sejarah Melayu, Singapura: Gaints Prints Sdn. Bhd.
[12] R. Suntharalingam, Pensejarahan Barat, Kuala Lumpur: Fajar Bakti, 1987, hlm. 19.
[13] Abdul Rahman Haji Ismail, “Sejarah Melayu: Antara Sejarah dan Dakyah”, Kajian Malaysia, Jilid III, No.2, 1985, hlm. 25.
[14] Ahmad Mahmood Musanif, Pemahaman dan Penghayatan Sejarah Melayu, Selangor: Masa Enterprise, 1992, hlm.1.
[15] Yusoff Iskandar, “Sejarah Melayu Sastera yang Bercorak Sejarah”, dalam Zahrah Ibrahim (penyt.), Sastera Sejarah: Interprestasi dan Penilaian, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm. 120 dan 123.
[16] Ibid., hlm. 123.
[17] V. Thilagavathi Gunalan, “Dari Bukit SiGuntang ke Bukit Larangan: Parameswara dalam teks Sejarah Melayu”, Parameswara Pembina Empayar Melaka: Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) GRAHA IKSEP, 2005, hlm. 71.
[18] Ibid., hlm. 71.
[19] Abdul Rahman Haji Ismail, “Sejarah Melayu: Antara Sejarah dan Dakyah”, Kajian Malaysia, Jilid III, No.2, 1985, hlm. 31.

[20] Yusoff Iskandar dan Abdul Rahman Kaeh, Sejarah Melayu: Satu Perbicaraan Kritis Dari Pelbagai Bidang, Kuala Lumpur: Heineman Educational Book (Asia) Ltd, 1978, hlm.18.
[21] J.C. Bottom, “Malay Historical Works”, dalam K.G.Tregonning (ed.), Singapore: Malaysian Historical Sources, 1962, hlm. 38.
[22] Ibid., hlm. 38.
[23] C.C. Brown, Sejarah Melayu or Malay Annals. (terj.), London: Oxford University Press, 1970, hlm. 25.
[24] Yusoff Iskandar dan Abdul Rahman Kaeh, Sejarah Melayu: Satu Perbicaraan Kritis Dari Pelbagai Bidang, Kuala Lumpur: Heineman Educational Book (Asia) Ltd, 1978, hlm.14.

[25] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm. 27.

[26] Ali Ahmad, Karya-Karya Sastera Bercorak Sejarah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, hlm. 10.

[27] Sheikh Othman bin Seikh Salim (eds.), Kamus Dewan Edisi Ketiga, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, hlm. 345.

[28] Flaron bin Daun, Sejarah Melayu: Satu Kajian Dari Aspek Pensejarahan Budaya, Bangi: Institusi Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1985, hlm. 5.
[29] Hassan Ahmad, “Makna Sebuah Kedaulatan: Pandangan Melayu Terhadap Dirinya”, dalam Dewan Budaya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007, hlm. 14.
[30] Ibid., hlm. 10.
[31] Ali Ahmad, Karya-Karya Sastera Bercorak Sejarah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, hlm. 11.

[32] R. Suntharalingam, Pensejarahan Barat, Kuala Lumpur: Fajar Bakti, 1987, hlm. 111.

No comments: