Thursday, September 27, 2007

PERANG DIPONEGORO

PERANG JAWA DISEBABKAN OLEH FAKTOR SOSIOBUDAYA. SEJAUHMANAKAH ANDA BERSETUJU DENGAN PERNYATAAN DI ATAS.

1.0 PENGENALAN:
Kajian saya kali ini akan menyentuh berkaitan dengan isu Perang Jawa atau juga yang dikenali sebagai Perang Diponegoro. Dalam kajian ini, saya akan mengupas dengan lebih lanjut tentang watak-watak, perjalanan perang, faktor-faktor yang mendorong kepada belakunya perang tersebut serta diakhir perbincangan ini, kesimpulan yang bernas akan dicari untuk melengkapkan kajian ini. Justeru itu, pelbagai bahan dan sumber rujukan akan diaplikasikan untuk mendapatkan hasil kajian yang baik.

2.0 LATAR BELAKANG PERANG:
Perang Diponegoro atau dalam bahasa Belanda dikenali dengan istilah “De Java Qorlog” merupakan suatu perang yang besar. Perang ini berlangsung selama lima tahun iaitu antara tahun 1825 hingga 1830[1]. Perang ini berlangsung dari 20 Julai 1825 sehingga 28 Mac 1830.[2] Perang yang berlaku di tanah Jawa ini melibatkan peperangan antara masyarakat peribumi dengan tentera Belanda yang diketuai oleh Jeneral De Kock. Dalam perang ini, masyarakat peribumi Jawa dipimpin oleh seorang pangeran Yogyakarta yang bernama Pangeran Diponegoro.Dalam perang ini juga, Pangeran Dipornegoro dibantu oleh pahlawan-pahlawan hebat yang lain seperti pahlawan Mangkubumi, Kyai Modjo dan Sentot Prawirodirdjo.[3] Perang ini juga akhirnya telah melibatkan pelbagai korban yang bukan sahaja harta-benda bahkan juga nyawa manusia. Berdasarkan dokumen-dokumen Belanda, perang tersebut telah mengorbankan 200 000 nyawa masyarakat peribumi manakala 8000 nyawa terkorban di pihak Belanda. Perang ini dikenali sebagai “Perang Jawa” kerana peperangan ini melibatkan hampir seluruh wilayah Jawa. Maka dengan itu, istilah “Perang Jawa” diaplikasikan.

3.0 FAKTOR-FAKTOR TERCETUSNYA PERANG JAWA:
Terdapat beberapa faktor tertentu yang menyebabkan berlakunya Perang Jawa. Perang ini dilihat bermula daripada masalah ataupun konflik dalaman Keraton Yogyakarta. Ketegangan timbul ketika Sultan Hamengkubuwono II memecat dan menggeser pegawai keraton dan bupati-bupati yang dahiulu dipilih oleh Sultan Hamengkubuwono I.[4] Sultan Hamengkubuwono II menginginkan pemerintahan yang kuat dan dibantu oleh orang-orang yang dekat dengan beliau. Justeru itu, beliau telah melantik pebantu-pebantunya dari kalangan menantunya. Contohnya, Raden Adipati Danu Rejo II sebagai patih, Raden Temenggung Sumodinigerat sebagai Wedana Lebet dan Raden Ronggo Prawiroderjo III sebagai bupati Wedana Monconegoro Timur.[5] Hal ini menyebabkan banyak pegawai yang berpengalaman sebelum ini telah dipecat.
Perkara ini menyebabkan Kanjeng Ratu Ageng telah menasihati Sultan terhadap tindakannnya. Namun begitu, nasihatnya tidak diendahkan oleh Sultan. Golongan-golongan ini dilihat seringkali disisihkan dan dipinggirkan dalam soal pemerintahan dan pentadbiran. Hal ini secara tidak langsung membuka peluang kepada pihak Belanda untuk campur tangan berikutan perpecahan yang berlaku dalam Keraton. Sesungguhnya Belanda dapat mempertahankan kekuasaannya dan mengembangkan pengaruh serta kolonialisme dengan cara yang licik sekali dan dengan kemahirannya mempergunakan konsep politik “divide and rule” iaitu suatu konsep politik yang mengadu domba bangsa Jawa dengan semboyan “pecah dan perintah”.[6] Oleh itu, golongan-golongan yang tersisih ini akhirnya meminta bantuan kepada Putera Mahkota iaitu ayah Pangeran Dipornegoro. Walau bagaimana pun, Kanjeng Ratu Ageng akhirnya bersama cucunya menigggalkan Keraton dan menetap di desa Tegalrejo. Namun begittu, konflik masih terus berlaku terutamanya apabila Dipornegoro sudah besar. Konflik ini berlaku sekitar tahun 1792. Konflik ini melibatkan Sultan Hamengkubuwono II dan Putra Mahkota iaitu Pangeran Adipati Amangkunagoro serta akhirnya melibatkan Diponegoro. Hal ini bermula gara-gara keputusan Residen Baron de Salis yang telah bersetuju mengangkat Pangeran Menol yang masih berusia tiga tahun sebagai Sultan Hamengkubuwono V untuk menggantikkan Sultan Hamengkubuwono IV yang meninggal dunia secara tiba-tiba.[7] Hal ini berlaku pada tahun 1822. Perkara ini akhirnya menyebabkan Diponegoro terasa terhina kerana terpaksa akur dan menghormati serta menyembah pemimpin yang masih kecil. Menurut tatatertib adat keraton, setiap pangeran sememangnya diwajibkan agar menyembah sultan dalam segala upacara atau urusan rasmi. Perkara ini bersesuaian dengan kepercayaan masyarakat Jawa yang menganggap sultan sebagai penguasa yang tertinggi yang ditakdirkan Tuhan kerana mendapat wahyu kerajaan. Disebabkan, Sultan Hemengkubuwono V masih kecil untuk memerintah negara, maka satu dewan perwalian dibentuk bagi menjalankan pemerintahan.[8] Antara anggota dewan itu ialah terdiri daripada Permaisuri Sultan III, Pangeran Mangku Bumi dan Pangeran Dipornegoro. Walaupun, Pangeran Dipornegoro merupakan ahli dewan, namun Dipornegoro jarang diajak atau dilibatkan secara khusus dalam soal pentadbiran dan pemerintahan. Contohnya, Pangeran Dipornegoro telah menyatakan masalah rakyat berkenaan isu penyewaan tanah kepada pihak Keraton namun usahanya itu hanya sia-sia sahaja kerana tidak mendapat sambutan dan layanan yang baik daripada pihak Keraton.[9] Akhirnya, Pangeran Dipornegoro meningggalkan ahli dewan dan jarang terlibat dalam sebarang usaha pemerintahan dan pentadbiran Keraton lagi. Walaupun Sultan Hamengkubuwono V diiktiraf sebagai sultan, namun perkara ini hanya terletak pada gelarannya sahaja tetapi tidak pada hakikatnya. Hakikatnya, pemerintahan dijalankan oleh Patih Danuredjo. Patih Danuredjo ini pula merupakan seorang yang mudah dipengaruhi dan sentiasa akur pada arahan dan perintah Belanda.
Faktor lain yang menyebabkan berlakunya Perang Jawa ialah disebabkan ketamakan dan kerakusan Belanda di Jawa. Setelah kekalahan Belanda dalam Perang Napoleon di Eropah, Belanda telah mengalami krisis kewangan yang sangat serius dan berat. Hal ini berikutan perbelanjaan perang yang banyak serta kerugian yang besar yang mereka alami setelah kalah dalam Perang Napoleon.[10] Hal ini seterusnya mendorong Belanda untuk menjalankan pelbagai pajakan di wilayah jajahannya termasuk jugalah di Hindia Belanda. Melalui dasar baru yang diperkenalkan Belanda ini, orang asing dibolehkan menyewa tanah masyarakat peribumi tempatan secara meluas. Tanah yang disewakan ini tidak terbatas pada tanah pertanian sahaja, bahkan jalan raya juga disewakan untuk diambil hasilnya iaitu dengan menarik pajak kepada semua barang-barang muatan yang dibawa melalui jalan itu.[11] Menurut S. Pragg, terdapat 34 jenis pajakan yang harus dibayar oleh rakyat.[12] Selain sistem pajakan dan sistem penyewan tanah yang membebankan rakyat, terdapat beberapa sistem lain yang amalannya kelihatan menyusah dan menindas rakyat. Misalnya, seperti pengamalan sistem pembayaran bea. Sistem ini sememangnya memberikan bebanan yang cukup besar dalam kehidupan masyarakat peribumi. Hal ini kerana orang-orang yang melalui daerah para bewan (tolgaarders) harus membayar bea untuk barang-barang yang dibawanya.[13] Pada awalnya, jumlah beawan-beawan ini tidaklah sebegitu banyak, namun begitu setelah melihat perniagaan ini mendatangkan untung yang lumayan maka jumlah beawan-beawan ini semakin hari semakin meningkat. Pemerintah Kolonial biasanya menyewakan “daerah bea cukai” kepada masyarakat Tiong Hua yang terkenal sebagai beawan dengan harga yang tinggi. Perlaksanaan sistem ini juga kelihatannya mengikis sedikit demi sedikit sikap perikemanusiaan dalam diri manusia. [14] Hal ini dapat dibuktikan, apabila anak-anak kecil yang didukung oleh ibu mereka juga turut dikenakan bayaran bea. Mereka menganggap anak-anak kecil ini juga tidak lebih sebagai barang bawaan yang harus dikenakan cukai. Terdapat juga para pemungut bea yang kejam sehingga sanggup bertindak di luar batas kesopanan dan kesusilaan sehingga berani menggeledahi barang-barang dan memeriksa tubuh badan setiap orang yang melalui kawasan mereka. Selain itu juga, Belanda turut mengamalkan dasar monopoli yang akhirnya menyeksa dan menindas masyarakat Hindia Belanda termasuk tanah Jawa.[15]
Selain itu, antara faktor lain yang menyebabkan berlakunya Perang Jawa adalah masalah penyewaan tanah milik Keraton Yogyakarta dan Surakarta oleh pemerintah Hindia-Belanda serta juga disebabkan oleh faktor budaya. Pada masa pemerintahan adiknya iaitu Hamengkubuwono IV, terdapat banyak golongan bangsawan yang memperoleh harta kekayaan yang banyak yang akhirnya menyebabkan mereka menjadi kaya secara tanpa disangka.[16] Kebanyakan bangsawan ini memperoleh kekayaan yang banyak kesan hasil penyewaan tanah yang mereka jalankan. Perkara inilah yang menyebabkan para bangsawan lebih gemar hidup mengamalkan gaya hidup mewah dan kaya yang diadaptasikan daripada gaya kehidupan pemerintah Belanda. Mereka iaitu golongan bangsawan ini kelihatannya mula menagung-agungkan nilai dan norma-norma masyarakat Belanda tetapi sebaliknya meninggalkan nilai dan norma-norma kehidupan masyarakat Jawa dan Islam. Contohnya, kebanyakan bangsawan sudah mula gemar menganjurkan pesta-pesta sehingga larut malam, meminum minuman keras yang memabukkan dan sebagainya.[17] Fenomena ini sememangnya tidak disetujui oleh golongan tua kerana perlakuan dan perbuatan seperti ini “sudah terang lagi bersuluh” menyalahi adat istiadat Keraton selain upacara seperti ini hanya membazirkan wang negara. Perkara ini menjadi bertambah rumit dan serius apabila terdapat bangsawan yang bekerja di bawah Belanda menjalankan hubungan terlarang dengan gadis keraton secara sewenang-wenangnya. Sultan sendiri juga yang selau memakai gelaran Saiyidin Panatagama Khalifatullah dikatakan juga sudah terjerumus ke dalam jurang pengaruh barat.[18]
Demikianlah usaha-usaha pihak Belanda untuk melemahkan kekuatan raja dari dalam iaitu di samping menyingkirkan orang-orang yang dianggap berbahaya, dimasukkan juga unsur-unsur kebudayaan yang sifatnya sememangnya bercanggah dengan kebudayaan masyarakat tempatan. Dalam isu ini, Diponegoro kelihatannya begitu mengambil berat dan prihatin kerana beliau tidak mahu tanah airnya dicemari dengan kebudayaan songsang yang sememangnya bertentangan dengan kebudayaan masyarakat Jawa dan Islam. Hal ini juga terdorong oleh sifat Diponegoro yang begitu taat dan patuh pada hukum Islam. Pangeran Diponegoro merupakan seorang ulama (sentri) yang gemar membaca dan mendalami kitab-kitab yang bercorak agama, sejarah dan sastera.[19] Beliau beranggapan bahawa berkuasanya orang asing terhadap tanah milik kerajaan iaitu melalui cara penyewaan tanah merupakan petanda atau alamat jatuhnya tanah Jawa ke tangan orang asing sehingga Jawa harus dirampas kembali dengan perang sabil.
Selanjutnya, perang Jawa juga meletus disebabkan tindakan Belanda yang menjalankan penutupan jalan ke Tegalrejo dengan memasang pancang secara sengaja di tanah milik Diponegoro di Tegalrejo.-[20] Tindakan yang dilakukan oleh pemerintah Belanda ini adalah bertujuan untuk pembinaan jalanraya yang baru. Tambahan lagi, aktiviti ini dilakukan secara diam-diam tanpa diketahui oleh pemilik tanah. Tindakan pihak Belanda ini dijalankan melalui perantara arahan dari Pateh Danurejo IV yang sememangnya terkenal sebagai seorang Pateh yang sangat taat dan setia kepada kekuasaan pemerintah Belanda.[21] Namun begitu, pancang-pancang itu telah dicabut dan dibuang oleh para pengikut Diponegoro. Pancang-pancang itu pula telah digantikan dengan tombak-tombak sebagai simbol penentangan atau protes mereka terhadap tindakan dan sikap pemerintah Belanda. Walaubagaimanapun, Residen Smissaert yang telah menggantikan Residen Baron de Salis telah memerintahkan anak buahnya agar pancang-pancang tersebut dipasang kembali.[22] Keadaan menjadi semakin panas apabila pembinaan jalanraya tersebut turut melibatkan tanah perkuburan nenek-moyang mereka termasuk Diponegoro.[23] Walaupun pelbagai arahan dan amaran supaya kegiatan tersebut dihentikan, namun pemerintah Belanda masih juga degil dan tersu sahaja meneruskan aktiviti tersebut. Juruukur dan pembina jalanraya terus sahaja menjalanakan aktiviti pembinaan jalanraya yang baru tanpa mengendahkan protes dan tentangan daripada masyarakat tempatan. Isu inilah yang menyebabkan seluiruh masyarakat Jawa yang terdiri daripada pelbagai latar belakang iaitu bangsawan, kuli, buruh, pedagang, petanidan guru-guru agama bersatu dalam menuntut hak mereka. Seluruh pemimpin dan rakyat jelata disatukan dibawah slogan yang berbunyi “Sadumuk bathuk, sanyari bumi ditohi tekan pati” yang bermaksud sejari kepala sejengkal tanah dibela samapi mati.[24] Perang ini juga dilihat sebagai perang memperjuangkan hak asasi masyarakat peribumi Jawa yang ditindas oleh Belanda. Di samping itu juga, Pangeran Dipornegorio menuntut agar Pateh Danureja IV dipecat akibat tindakannya yang menindas masyarakat Jawa. Namun begitu, Residen A. H. Smissaert membela pegawai tinggi Sultan yang setia kepada arahan Belanda.[25] Perkara ini akhirnya telah merintis kepada berlakunya perang Jawa antara Belanda dengan masyarakat peribumi tanah Jawa.

4.0 PERJALANAN PERANG JAWA:
Pertempuran terbuka berlangsung dengan pasukan-pasukan infantri, kavaleri dan artileri bertindak sebagai senjata utama dalam pertempuran. Pertempuran antara kedua-dua belah pihak iaitu masyarakat tempatan dengan Belanda berlaku dalam suasana yang begitu sengit sekali. Pertempuran juga melibatkan kebanyakan desa di seluruh tanah Jawa. Peperangan berlaku dengan cara iaitu sekiranya sesuatu kawasan itu ditakluki Belanda pada siang hari, maka pada malam hari, kawasan itu akan dirampas kembali oleh tentera peribumi tempatan.
Serangan-serangan masyarakat tempatan kerapkali dilancarkan pada bulan-bulan yang mengandungi musim hujan.[26] Mereka mempercayai bahawa bekerjasama dengan alam merupakan suatu senjata yang ampuh untuk menghadapi tentera Belanda. Apabila musim hujan tiba, Gabenor Belanda akan menjalankan usaha-usaha gencatan senjata dan berunding. Hal ini kerana, musim hujan menyebabkan pergerakan tentera Belanda terbatas dan menjadi agak sukar. Keadaan menjadi semakin sukar apabila pelbagai penyakit merbahaya seperti malaria, disentri dan sebagainya muncul sebagi musuh yang tidak nampak bagi tentera Belanda. Apabila waktu gencatan senjata dijalankan, maka mata-mata pihak Belanda akan bergerak ke kampung-kampung untuk mendapatkan maklumat tentang musuh mereka selain ingin memecah-belahkan musuh mereka.[27]
Pada kemuncak peperangan, Belanda telah mengerahkan lebih 23 000 orang tentera untuk menghadapi tentera peribumi tempatan. [28] Hal ini sememangnya suatu perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Belanda kerana menempatkan tentera yang sebegitu banyak dalam kawasan atau wilayah yang mempunyai keluasan yang tidaklah begitu luas. Dalam perang ini, pelbagai taktik dan startegi perang telah diaplikasikan. Contohnya seperti taktik perang terbuka (open warfare), perang gerila (geurilia warfare) yang dilaksanakan melalui taktik “hit and run” dan penghadangan. Dalam perang ini juga, taktik parang saraf juga turut diaplikasikan. Oleh itu, dapat difahami bahawa dalam Perang Jawa pelbagai taktik dan startegi perang yang mirip kepada konsep perang moden telah digunapakai.
Pada tahun 1827, Belanda telah melakukan serangan terhadap Diponegoro dengan menggunakan sistem benteng sehingga pasukan Diponegoro terjerat. Pada tahun 1829, Kyai Maja yang merupakan seorang pemimpin spiritual pemberontakan telah ditangkap. Seterusnya, Pangeran Mangkubumi dan panglima utamanya Sentot Alibasya menyerah diri kepada Belanda.[29] Akhirnya, pada 28 Mac 1830, Jeneral De Kock berjaya menawan pasukan Diponegoro di Mangelang.[30] Diponegoro akhirnya bersetuju menyerah diri tetapi dengan syarat anggota askarnya dilepaskan. Maka dengan itu, Pangeran Diponegoro akhirnya ditangkap dan diasingkan ke Manado kemudian ke Makasar serta seterusnya meninggal dunia di Rotterdam pada 8 Januari 1855.[31]

5.0 KESIMPULAN
Jelasnya, saya bersetuju bahawa antara faktor utama yang merintis kepada berlakunya Perang Jawa antara pihak Belanda dengan masyarakat peribumi Jawa yang dipimpin oleh Pangeran Diponegoro adalah disebabkan faktor sosiobudaya. Hal ini dapat dibuktikan melalui kesan-kesan pengaruh buruk yang dibawa Belanda dalam kamus hidup masayarakat Jawa. Namun begitu, terdapat juga faktor lain yang menyebabkan berlakunya perang ini. Contohnya faktor ekonomi yang dilihat berdasarkan pelbagai sistem yang diperkenalkan sehingga membebankan dan menyeksa kehidupan masyarakat Jawa.










BIBLIOGRAFI

Drs. Ariwiadi. 1971. Ichtisar Sedjarah Nasional Indonesia (Awal – Sekarang). Jakarta: Departemen Pertahanan Keamanan Pusat Sejarah Abri.

Frederick, W.H. dan Soeri Soeroto (eds.). 1982. Pemahaman Sejarah Indonesia: Sebelum dan Selepas. Jakarta: Lembaga Penelitian Pendidikan dan Penerangan Ekonomi dan Sosial.

Margono Djojohadikusimo. (t.t). Kenang-kenangan Dari Tiga Zaman :Satu Kisah Kekeluargaan Tertulis. (Terjemahan) Jakarta: P. T. Indira.

Prof. Dr. A. Sartono Kartodirdjo. (eds.). 1973. Sejarah Perlawanan Perlawanan Terhadap Kolonialisme. Yogjakarta: Departemen Pertahanan Keamanan Pusat Sejarah Abri.

Prof. Mr. Dr. Soekanto. 1984. Hubungan Diponegoro dan Sentot. Jakarta: Bina Aksara.

Sagimun M. D., 1986. Pahlawan Dipanegara Berjuang (Bara Api Kemerdekaan Nan Tak Kunjung Padam). Jakarta: PT Gunung Agung.

Steinberg D. J. 1981. Mengenali Sejarah Asia Tenggara Moden. (Terjemahan.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.






















LAMPIRAN

Pangeran Diponegoro

Sumber : www.yahooimages.com, Khamis 13, September 2007, 11.45pm
[1] Prof. Dr. A. Sartono Kartodirdjo, (eds.)., Sejarah Perlawanan Perlawanan Terhadap Kolonialisme, Yogjakarta: Departemen Pertahanan Keamanan Pusat Sejarah Abri, 1973, hlm. 125.
[2] David Joel Steinberg, Mengenali Sejarah Asia Tenggara Moden, (terj.), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, hlm. 114.
[3] Drs. Ariwiadi, Ichtisar Sedjarah Nasional Indonesia (Awal – Sekarang), Jakarta: Departemen Pertahanan Keamanan Pusat Sejarah Abri, 1971, hlm.54.
[4] Prof. Dr. A. Sartono Kartodirdjo, (eds.)., Sejarah Perlawanan Perlawanan Terhadap Kolonialisme, Yogjakarta: Departemen Pertahanan Keamanan Pusat Sejarah Abri, 1973, hlm. 126.
[5] Ibid., hlm. 126.
[6] Sagimun M. D., Pahlawan Dipanegara Berjuang (Bara Api Kemerdekaan Nan Tak Kunjung Padam), Jakarta: PT Gunung Agung, 1986, hlm. 17.
[7] Prof. Dr. A. Sartono Kartodirdjo, (eds.)., Sejarah Perlawanan Perlawanan Terhadap Kolonialisme, Yogjakarta: Departemen Pertahanan Keamanan Pusat Sejarah Abri, 1973, hlm. 130.
[8] Ibid., hlm. 130.
[9] Sagimun M. D., Pahlawan Dipanegara Berjuang (Bara Api Kemerdekaan Nan Tak Kunjung Padam), Jakarta: PT Gunung Agung, 1986, hlm. 26.
[10] Margono Djojohadikusimo, Kenang-kenangan Dari Tiga Zaman :Satu Kisah Kekeluargaan Tertulis, (terj.) Jakarta: P. T. Indira, (t.t), hlm. 9.
[11] Prof. Dr. A. Sartono Kartodirdjo, (eds.)., Sejarah Perlawanan Perlawanan Terhadap Kolonialisme, Yogjakarta: Departemen Pertahanan Keamanan Pusat Sejarah Abri, 1973, hlm. 130.
[12] Sagimun M. D., Pahlawan Dipanegara Berjuang (Bara Api Kemerdekaan Nan Tak Kunjung Padam), Jakarta: PT Gunung Agung, 1986, hlm. 29.
[13] Ibid., hlm. 29.
[14] Ibid., hlm. 29.
[15] William H. Frederick dan Soeri Soeroto (penyt.), Pemahaman Sejarah Indonesia: Sebelum dan Selepas, Jakarta: Lembaga Penelitian Pendidikan dan Penerangan Ekonomi dan Sosial, 1982, hlm. 133.
[16] Sagimun M. D., Pahlawan Dipanegara Berjuang (Bara Api Kemerdekaan Nan Tak Kunjung Padam), Jakarta: PT Gunung Agung, 1986, hlm. 30.
[17] Prof. Dr. A. Sartono Kartodirdjo, (eds.)., Sejarah Perlawanan Perlawanan Terhadap Kolonialisme, Yogjakarta: Departemen Pertahanan Keamanan Pusat Sejarah Abri, 1973, hlm. 131.
[18] Sagimun M. D., Pahlawan Dipanegara Berjuang (Bara Api Kemerdekaan Nan Tak Kunjung Padam), Jakarta: PT Gunung Agung, 1986, hlm. 48.
[19] Drs. Ariwiadi, Ichtisar Sedjarah Nasional Indonesia (Awal – Sekarang), Jakarta: Departemen Pertahanan Keamanan Pusat Sejarah Abri, 1971, hlm.53.
[20] Prof. Dr. A. Sartono Kartodirdjo, (eds.)., Sejarah Perlawanan Perlawanan Terhadap Kolonialisme, Yogjakarta: Departemen Pertahanan Keamanan Pusat Sejarah Abri, 1973, hlm. 132.
[21] Ibid., hlm. 132.
[22] Ibid., hlm. 131.
[23]Sagimun M. D., Pahlawan Dipanegara Berjuang (Bara Api Kemerdekaan Nan Tak Kunjung Padam), Jakarta: PT Gunung Agung, 1986, hlm. 49.
[24] Drs. Ariwiadi, Ichtisar Sedjarah Nasional Indonesia (Awal – Sekarang), Jakarta: Departemen Pertahanan Keamanan Pusat Sejarah Abri, 1971, hlm.51.
[25] Sagimun M. D., Pahlawan Dipanegara Berjuang (Bara Api Kemerdekaan Nan Tak Kunjung Padam), Jakarta: PT Gunung Agung, 1986, hlm. 49.
[26] Drs. Ariwiadi, Ichtisar Sedjarah Nasional Indonesia (Awal – Sekarang), Jakarta: Departemen Pertahanan Keamanan Pusat Sejarah Abri, 1971, hlm.55.

[27] Sagimun M. D., Pahlawan Dipanegara Berjuang (Bara Api Kemerdekaan Nan Tak Kunjung Padam), Jakarta: PT Gunung Agung, 1986, hlm. 137.
[28] Ibid., hlm. 151.
[29] Prof. Mr. Dr. Soekanto, Hubungan Diponegoro dan Sentot, Jakarta: Bina Aksara, 1984, hlm. 25.
[30] Sagimun M. D., Pahlawan Dipanegara Berjuang (Bara Api Kemerdekaan Nan Tak Kunjung Padam), Jakarta: PT Gunung Agung, 1986, hlm. 269.
[31] Ibid., hlm. 303.

No comments: